Dikuasakan oleh Blogger.
RSS

.: CINTA DALAM AL-QURAN :.

Dalam Al-Quran, perkataan 'hubb' diulang berulang kali.  Antaranya disebut bahawa Allah kasih kepada orang yang bertakwa, Allah kasih kepada orang yang berbuat baik, Allah kasih kepada orang yang sabar dan Allah kasih kepada orang yang bertaubat.  Pada ketika yang lain, Al-Quran menyebut bahawa Allah tidak kasih kepada orang yang zalim, Allah tidak kasih kepada orang yang melakukan kerosakan, Allah tidak kasih kepada orang yang membazir dan Allah tidak kasih kepada orang yang sombong.
 
Kecintaan kepada Allah dan Islam membawa seseorang ke ruang litup dan gelanggang yang menyelamatkan iman.  Cinta adalah anugerah Ilahi kepada setiap insan.  Insan yang tidak bercinta atau tiada rasa cinta adalah insan yang tidak mempunyai hati dan perasaan.  Manusia tidak dapat lari daripada cinta.  Oleh itu, Al-Quran menegaskan cinta sebagai sesuatu yang fitrah, Firman Allah ;

Maksudnya; " Dihiaskan bagi manusia itu kecintaan tentang apa-apa yang dapat menyenangkan iaitu daripada wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas dan perak, kuda-kuda pilihan, haiwan ternakan dan tanaman..."  (surah Ali Imran ; 14)

Cinta bertujuan melahirkan kebahagian dalam kehidupan.  Cinta ada pasang surutnya.  Ada ketika cinta itu akan pudar.  Ada ketika cinta itu cinta buta, ada ketika manusia buta cinta.  Setiap yang terjadi kepada cinta perlu dinilai dan digilap agar ia kembali bersinar.

Mengapa cinta itu penting?  Tidak lain tidak bukan ialah cinta adalah kunci kepada kebahagiaan.  Kebahagiaan adalah antara perkara terpenting dalam kehidupan kita.  Semua orang ingin bahagia.  Tidak ada manusia yang bercita-cita untuk tidak bahagia. Cita-cita bahagia adalah cita yang mulia.  Tidak guna duit banyak jika tidak bahagia.  Seandainya hadirnya cinta sekadar untuk mengecewakan lebih baik cinta itu tidak pernah hadir.

Cinta akan terbina dangan baik jika hati kita bersih dan ikhlas dalam bercinta.  Oleh itu, cinta yang tercerna nampak dalam kelakuan dan tingkah laku kita sebenarnya bermula daripada hati.  Jika perkahwinan itu secara paksa tanpa ada sekelumit pun rasa cinta, maka istana yang dibina akan punah.  Istana kebahagiaan juga akan musnah jika cinta tidak dibajai.


Cinta tidak boleh ditiru dengan begitu mudah.  Ia perlu dibina dan disemai dengan baik agar ia subur.  Oleh itu jika kita bercinta hanya kerana ingin meniru cinta orang lain, ia akan kabur.  Cinta mestilah berdasarkan asa yang kukuh.  Cinta tiruan adalah cinta yang lahir tanpa perasaan yang ikhlas.

Cinta juga khususnya cinta antara pasangan yang masih belum diikat dengan ikatan yang sah (akad nikah) perlu melalui adab dan peraturan syariat. Islam tidak mahu melahirkan cinta terlarang iaitu cinta yang melanggar hukum.

PESANAN : UNTUK JATUH CINTA MEMANG MUDAH.  UNTUK DICINTAI JUGA MEMANG MUDAH.  TETAPI UNTUK DICINTAI OLEH ORANG YANG KITA CINTAI ITULAH YANG SUKAR DIPEROLEHI.
[diculik dari : cakar harimau... tips kebahagiaan rumahtangga.  Ustazah Siti Nor Bahyah Binti Mahamood]

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS