Dikuasakan oleh Blogger.
RSS

KELUARGA BAHAGIA

Apabila seseorang itu berkahwin suatu perkara yang didambakannya ialah kebahagiaan. Adakah bahagia itu seronok? Namun seronok tidak bererti bahagia tetapi bahagia mengundang keseronokan. Sifat seronok hanyalah sementara. Ianya seketika, boleh jadi hanya dalam beberapa saat sahaja. Apabila perasaan tercuit rasa gembira, sifat kecewa atau sedih berlalu seketika, hanya seketika mungkin malah tidak mampu mengubat jiwa.

Bahagia pula suatu perasaan yang lahir dari hati yang tenang, walaupun sekeliling membingitkan. Kebahagian bukanlah keadaan yang dibuat-buat akan tetapi ianya terjadi dari dalam diri yang memiliki hati yang tenang. Firman Allah SWT;
'Dialah yang menurunkan Sakinah (ketenangan) ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Al-Fath: 4)'
Ketenangan yang didambakan itu datangnya dari Allah. Bukan hasilan manusia semata-mata. Kita mungkin nampak bahagia itu pada banyaknya harta, pasangan yang sama padan dari segi rupa parasnya, jawatan yang baik, anak-anak yang ramai atau apa saja yang pada nilaian fikiran manusia ianya bahagia.
Namun sebaliknya, sumber kebahagiaan bukannya pada itu semua. Betapa banyak sudah bukti yang terzahir di depan kita bahagia bukan pada mata benda dunia tetapi bahagia itu bila kaya jiwa dan tenangnya hati. Orang gila lebih tenang dari kita yang waras ini mungkin?. Malah si anak-anak kecil mungkin bahagia dalam alam dan dunianya.
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati”.
Kaya hati atau jiwa bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Untuk memiliki ketenangan dalam berkeluarga ini setiap individu haruslah berusaha membentuk diri melalui asas yang ditekan di dalam Islam iaitu, faham agama, menjaga maruah dan menjaga akal.

Asas yang pertama ialah faham agama. Bermula dari perlaksanaan tuntutan syahadah dengan sempurna sehinggalah penyempurnaan segala kefardhuan dalam bentuk individu serta bermasyarakat. Mereka yang tidak mengetahui ajaran Islam adalah kebanyakannya cara hidup mereka berpedomankan kepada kehendak nafsu, mereka mencampur adukkan antara ajaran Islam dengan ajaran-ajaran bukan Islam, kecuali sebilangan yang amat kecil sahaja dikalangan kita yang masih hidup secara Islam.
Firman Allah:(Al-Quran, ayat: 34) yang bermaksud:
“Nampakkah (wahai Mohammad) keburukan keadaan orang yang menjayakan hawa nafsunya tuhan yang dipuja bagi ditaati ? Maka dapatkah engkau menjadi pengawal yang menjaganya jangan sesat. Atau adalah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendakwa atau memahaminya (apa yang engkau sampaikan kepada mereka) mereka hanya seperti binatang ternakan bahkan bawaan mereka lebih sesat lagi”.
Di dalam ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa orang yang berpedoman kepada hawa nafsu adalah sesat, mereka tidak akan menemui jalan yang benar. Kerana tabiat nafsu lebih suka kepada kebebasan yang mutlak dan itu adalah tabiat binatang.

Justeru hidup beragama dan faham kehendak agama adalah mereka yang berpedoman dan mempunyai hala tuju yang jelas.

Asas yang kedua ialah menjaga maruah. Setiap individu muslim wajib menjaga diri dan maruah dari perbuatan yang mencemarkan nama baik dan kehormatan diri. Memiliki jati diri dengan berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terpengaruh dengan unsur-unsur asing yang merosakkan.

Islam telah menggariskan panduan untuk menjaga imej diri dan maruah terutama dalam cara berpakaian, percakapan dan pergaulan. Sebagai muslim kita wajib memelihara semua adab ini supaya maruah kita tidak tercemar dan kualiti diri sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Asas yang ketiga menjaga akal. Manusia sebagai makhluk Allah yang mulia mempunyai akal fikiran maka untuk membentuk dan mendisplinkan mereka mestilah berasaskan akidah ketuhanan dan dengan pegangan akidah ketuhanan dapat membendung manusia dari melakukan kejahatan. Harus disedari bahawa apa saja bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh manusia pada hari ini adalah berpunca dari akidah yang kurang jelas dan sempurna kefahamannya terhadap sifat ketuhanan.

Umat Islam pada hari ini sangat memerlukan kepada pembinaan akidah dan menanamkan rasa kebesaran Allah di dalam hati terutama di saat pembinaan kebendaan yang sangat pesat ini. Sekiranya tidak seimbang antara pembangunan akidah dengan pembangunan kebendaan khususnya dalam pembinaan keluarga maka pembangunan kebendaan dan kekeluargaan akan rosak dan runtuh.

Umat Islam pada hari ini telah hilang pegangan keagamaan. Sehingga mereka yang sering mengerjakan amal ibadat masih juga berterusan melakukan pelbagai kemaksiatan hingga sampai ke peringkat mengejek-ngejek dan memperkecil-kecilkan ajaran agamanya sendiri sedangkan perbuatan ini boleh terkeluar dari Islam (murtad) demikian menurut pendapat Imam Malik, Al-Shafie, Ahmad bin Hambal dan sebahagian besar ulama muktabar.

Fiman Allah: (Surah At-Taubah, ayat: 21) Yang bermaksud :
Dan jika mereka mencabuli sumpahannya sesudah mereka mengikat perjanjian setia dan mereka pula mencela agamamu maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir “.
 

Kesimpulan.
Inilah dia sebahagian dari panduan asas untuk mengwujudkan keluarga yang bahagia. Ianya bermula seawal waktu, bermula dalam diri setiap individu samaada ia bakal menjadi suami atau isteri, masing-masing harus mempersiapkan diri secukupnya agar pertemuan dua jiwa yang saling mencintai akan terpaut juga kepada kasih ilahi. Ingatlah bila kita memelihara hak Allah, Allah akan mempermudahkan segala keperluan hidup kita. Selamat berumah tangga bagi bakal pengantin baru dan juga bagi pasangan yang telah lama berumahtangga semoga kita mampu menghasilkan yang terbaik dalam kehidupan berkeluarga kita.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 Cucuk:

Catat Ulasan